Assalamualaikum,Masih tidak yakin bahaya bibit-bibit assobiyah boleh meruntuhkan ummat? Jika masih belum, aku nak bawa perhatian kalian ke bumi Palestin, satu subjek yang amat dekat di hati ku. Dalam semua rencana dan buku tentang Palestin yang aku tulis aku tidak (atau belum) mengupas peristiwa kekalahan Palestin dan kejatuhan Khilafah Utsmaniyah dari perspektif Assobiyah.Dalam buku 'Israel - Kenapa dunia tidak boleh mengiktirafnya" aku telusuri sejarah Palestin dengan menyentuh kelahiran gerakan zionisme dan apakah kesan dari lobi Yahudi ke atas Britain dan kemudiannya Amerika Syarikat dan PBB dalam menentukan masa depan Palestin dan rakyatnya.Namun konspirasi musuh dan perancangan licik zionis Yahudi hanya menjadi kenyataan apabila umat Islam dihinggapi oleh suatu penyakit yang melemahkan batang tubuh umat Islam dari dalam. Betul! Penyakit itu tidak salah lagi ialah penyakit Assobiyah. Ramai penganalisis dangkal sejarah umat Islam melonggokkan kesalahan itu kepada Wahabbi (tanpa mengetahui secara ilmiah siapa itu golongan Wahabbi). Wahabbiyah atau pengasasnya Imam Muhammad Abdul Wahab sebagai seorang mujaddid tidak ada kena mengena dengan kekalahan umat Islam di Palestin (Bahkan Imam Syeikh Abdul Wahab tidak pernah mengasaskan pemikiran atau aliran Wahabiyyah - beliau berpegang dengan fiqh mazhab Hambali - ahlu sunnah wal jamaah). Biang keladi sebenarnya adalah assobiyah Arab dan Turki. Tidak percaya? Sila rujuk surat-menyurat (correspondence) di antara McMahon (pesuruh jaya British di Mesir dan Syarif Hussein dari Mekah - ya dari Mekah!!) di mana mereka merancang untuk menyusun satu kebangkitan umat Arab untuk menentang Khilafah Utsmaniah yang diterajui oleh bangsa Turki. Lihat bagaimana bisanya racun assobiyah ini apabila British mengirim seorang penasihat (pengadu domba) yang terbilang bernama T.E. Lawrence (Lawrence of Arabia) mempengaruhi kabilah Arab untuk memerangi orang Turki. Sewaktu pecahnya perang dunia pertama Lawrence of Arabia telah memimpin pasukan Arab untuk menyerang tentera khilafah di Aqaba dan hejaz. Bahkan tentera Arab TE Lawrence bersama dgn Lord Allenby, ketua tentera British di Mesir menyusun serangan ke Damsyik. Di sinilah Lord Allenby memijak kubur Salahuddin al-Ayubbi dan dengan angkuhnya mendabik dada dan mengistiharkan 'pada hari ini tamatlah perang salib!'Di masa yang sama wujud pula gerakan anti Arab dan apa sahaja yang berbau Arab di Turki. Pemimpin sekular Turki Kamal Attaturk yang bersekongkol dengan agen-agen zionis cuba mengocak sentimen orang Turki dengan menukar tulisan dengan abjad Arab kepada rumi bahkan menyarankan supaya azan dilaungkan dalam bahasa Turki!Apabila umat Islam sudah berkiblat kepada bangsa - maka perpecahan adalah natijahnya. Samada slogannya berbunyi 'mendaulatkan ketuanan bangsa' atau 'mendaulatkan kesetiaan bangsa' ia adalah ungkapan yang sama. Bahkan ungkapan 'mendaulatkan kesetiaan bangsa' lebih merbahaya seperti arak yang dinamakan sebagai 'spirit' ataupun tonik. Ia tetap haram meskipun diberi nama yang lain atau dihidangkan dalam botol kicap.Pada masa yang sama berlaku satu peristiwa yang amat besar maknanya bagi umat Islam tetapi tidak pernah disebut dalam sejarah tanah air. Peristiwa ini berlaku pada tahun 1915 ketika tentera British sedang membuat persiapan untuk berangkat dari Singapura ke timur tengah. Objektif mereka ialah menyerang kepentingan Turki di Afrika Utara, Hejaz dan di Palestin. Tentera British yang berpengkalan di Singapura terdiri juga dari tentera India muslim dan juga askar melayu dari Straits Volunteer Force. Ketika itu sudah beredar fatwa yang dikeluarkan oleh Qadhi di Turki iaitu wajib berjihad menentang musuh-musuh Islam (Jihad Akbar Fardhu Ain). Tentera India muslim dan tempatan yang tahu tentang kewajipan mereka terhadap tuntutan Islam telah berpaling tadah dan melawan pasukan mereka sendiri. Pemberontakan ini terkenal dengan peristiwa 'Dahagi' menyaksikan tentera British menerima pukulan pada tahap awal. Tetapi setelah bantuan diterima dari TSN (timbalan setia negeri Johor) tentera-tentera yang bangkit melawan British berjaya ditangkap dan mereka dikenakan hukuman tembak 'firing squad'. Jumlah tentera yang mengambil bahagian dalam peristiwa Dahagi ini mencecah 1,000 orang.Apa take home messagenya adek-adek dan anak-anak ku. Siapakah yang telah mengkhianati umat Islam sehingga membawa kepada kejatuhan Bilad-as-Syams (termasuk Syria, Jordan dan Palestin) dan keruntuhan Khilafah? Siapakah pula yang mempertahankan tanah suci dan kepentingan umat Islam walaupun mereka berada jauh dari bumi Palestin? Isunya di sini bukan bangsa apa? Isunya ialah selagi umat Islam meletakkan kepentingan bangsa atau kesetiaan bangsa mengatasi kepentingan umah dan kesetiaan kepada ummah, maka tunggulah saat kejatuhan dan kehancuran. Umat Islam yang meletakkan kesetiaannya hanya kepada Islam akan bersedia kehilangan segala-galanya demi Islam termasuklah mempertaruhkan nyawa mereka. Tetapi umat Islam yang meletakkan kesetiaannya kepada bangsa akan menumpahkan kesetiaan mereka kepada manusia. Kononnya mereka 'setia' kepada bangsa... Percayalah golongan yang kononnya setia mepada bangsa ini tidak akan berfikir dua kali untuk mengkhianati bangsanya sendiri apabila kepentingannya tergugat. Mereka yang setia kepada bangsa ini bersedia untuk menumpahkan kesetiaannya kepada sesiapa sahaja yang boleh menjamin kepentingan dan 'survival' mereka. Sejak dari zaman Portugis, Belanda, British dan Jepun - golongan yang kononnya setia kepada bangsa inilah yang akan menyembah-nyembah 'tuan penjajah' mereka dan siap siaga untuk mengorbankan anak bangsa mereka sendiri bahkan keluarga mereka sendiri!.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan