Assalamualaikum ikhwah dan akhawat yang dicintai kerana Allah sekalian.
Revolusi di Tunisia baru berlalu. Setelah dicengkam kezaliman selama 23 tahun rakyat Tunisia bangkit melawan kezaliman regim pemerintah yang mengabai kebajikan rakyat.
Kebangkitan yang bermula dengan kesah seorang pemuda yang membakar dirinya sendiri sebagai protes terhadap kezaliman yang dikenakan keatas dirinya itu akhirnya mencetuskan kemarahan rakyat Tunisia dan membuka mata banyak pihak khususnya golongan muda terhadap kezaliman pemerintah.
Islam sememangnya membenci kezaliman. Firman Allah s.w.t: “Dan hari-hari itu kami gilirkannya dikalangan manusia, supaya Allah mengetahui orang-orang yang beriman dari kalangan kamu dan mengambil dari kalangan kamu sebagai syuhada’, dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim.” (Aal Imran:140)
Hari ini revolusi tersebut telah merebak ke Negara-negara lain seperti Mesir, Jordan dan Negara-negara di sekitarnya. Para penganalisis politik meramalkan kemungkinan revolusi itu juga akan merebak ke Negara-negara lain seperti Libya, Algeria, Arab Saudi dan juga Malaysia. Bagaimananpun ini hanya sekadar ramalan.
Islam mengakui posisi kaum muda yang sangat strategis. Usia muda, menurut al-Qur’an, merupakan usia yang penuh kekuatan, usia yang terletak di antara dua fasa kelemahan. Al-Qur’an melukiskannya dengan sangat indah sekali. FirmanNya:
“Allah, Dialah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan sesudah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan sesudah kuat itu lemah dan beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.” (al-Rum: 54)
Jika dilihat kepada sejarah jatuh-bangun sesebuah bangsa, ia banyak bergantung kepada golongan muda. Dari gambar-gambar Revolusi Tunisia, begitu juga demonstrasi di Mesir baru-baru ini, kelihatan golongan muda berada di barisan hadapan. Begitulah, anak muda harus kehadapan menjuarai isu-isu yang melibatkan kepentingan ummah.
Lihatlah bagaimana Usamah ibn Zaid, anak dari anak angkat kesayangan Nabi Muhammad Shalallahu ’alaihi wasallam, Zaid ibn Haritsah. Ketika belum melebihi dua puluh tahun beliau telah layak ditunjuki oleh Nabi Muhammad s.a.w sebagai pemimpin pasukan perang yang akhirnya berjaya menumbangkan Empayar Rom.
Bukankah Usamah inilah yang datang menghadap Rasulullah s.a.w bersama kawan-kawan remaja putra para sahabat untuk menyertai perang Khandaq lalu menegapkan badannya supaya dia diterima menyertai peperangan? Rasulullah s.a.w kasihan melihatnya yang terlampau ingin ikut serta dalam peperangan lalu mengizinkannya setelah dahulunya ditolak permintaannya semasa perang Uhud kerana masih terlalu kecil.
Kita semua pasti berbangga dengan tokoh sehebat Salahuddin al-Ayyubi. Apakah kita tahu bahawa Salahuddin al-Ayyubi seawal usia empat belas tahun beliau telah bergabung dalam pasukan Nuruddin Zanki menentang tentera shalib. Pada tahun 1164 ketika umurnya mencecah 26 tahun beilau telah melancarkan ekspedisi menyerang Dinasti Fatimiyyah yang menganut fahaman Syiah. Ekspedisi ini berlangsung selama beberapa kali hingga akhirnya berjaya menaklukkan negeri tersebut pada tahun 1169 lalu berhasil menukarkannya menjadi negara Sunni.
Terlalu banyak peranan pemuda yang terdapat di sepanjang perjalanan sejarah, baik dari kalangan Muslim maupun selainnya. Kepemudaan memang selalu diperlukan bagi perubahan dan sebagai kekuatan pendorong yang penting di setiap peringkat sejarah. Sebut saja Musa’ab bin Umair, anak muda yang dihantar oleh Rasulullah s.a.w ke Madinah untuk mengislamkan kaum Aus dan Khazraj yang akhirnya menghasilkan terdirinya sebuah Negara Islam yang hebat seperti yang kita kenal sehingga ke hari ini.
Begitu juga Abdullah bin abbas, Zubair bin Awwam dan ramai lagi pemuda yang memainkan peranan penting dalam mengembangkan da’wah islamiyyah.
Pemuda-pemuda seperti mereka inilah yang telah membangunkan peradaban islam yang agung dan gilang gemilang dalam sejarah umat Islam. Lihatlah sejarah mereka, di masa muda mereka telah:
a. Membina keperibadian dengan baik
b. Memimpin umat ke arah keselamatan.
c. Mengubah sejarah dunia
Dalam sebuah risalahnya yang terkenal kepada para pemuda, Hassan al-Banna telah melukiskan dengan baik sekali tentang kelebihan-kelebihan yang ada pada para pemuda serta tanggungjawab dan peranan yang harus mereka lakukan . Mari kita amat-amati pesanannya dengan penuh cermat.
Katanya: “Sesuatu gagasan akan berjaya jika wujudnya keyakinan yang kuat dengan gagasan yang didokong, wujudnya keikhlasan dalam mendokongnya, semangat yang sentiasa membara bersamanya, serta kesediaan berkorban dan berusaha merealisasikannya. Keempat-empat asas ini iaitu keimanan, keikhlasan, semangat dan usaha adalah sifat-sifat istimewa para pemuda. Sebabnya asas keimanan ialah hati yang bersih, asas keikhlasan ialah jiwa yang suci, asas semangat ialah keinginan yang kuat, asas usaha ialah keazaman yang membara. Semua sifat ini hanya ada pada pemuda. Atas dasar ini dalam mana-mana bangsa para pemuda menjadi tonggak kepada kebangkitan mereka. Setiap kebangkitan ada rahsia kekuatannya yang tersendiri. Setiap gagasan ada pendokong panji-panjinya. “sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk (al-Kahf:13).
Dengan ini bermakna kewajipan kamu banyak, tanggungjawab kamu berat dan terlalu banyak hak bangsa kamu yang perlu kamu tunaikan. Ini bermakna amanah yang kamu pikul adalah berat. Kamu perlu berfikir semasak-masaknya, kamu perlu berusaha lebih, kamu perlu menentukan pendirian kamu, kamu perlu mara sebagai penyelamat. Kamu perlu tunaikan segala hak ummah dengan segala keistimewaan yang kamu miliki sebagai pemuda. . .”
Ikhwah dan akhawat yang dicintai kerana Allah sekalian.
Sekarang mari kita lihat apa yang terjadi dengan anak-anak muda kita di Malaysia hari ini:
1-adik-adik kita
2-abang-abang kita
3-kakak-kakak kita
4-saudara mara kita
5-penduduk kampung kita
Dengarkan apa yang mereka bualkan, lihatlah apa yang mereka tonton. Ternyata anak-anak muda kita lebih suka berbual tentang kereta yang diidam-idamkan, handphone baru, cerita-cerita cinta, berchating dan sebagainya. Masa emas mereka dihabiskan begitu saja kepada perkara-perkara yang sama sekali tidak berfaedah.
Budaya hedonisme yang tak terkawal membuatkan anak-anak muda semakin tidak pedulikan:
-keluarganya
-masyarakatnya
-negaranya
-dirinya sendiri.
Nah, di sinilah terletak peranan kita.
Ketahuilah bahawa musuh-musuh islam sentiasa mencari jalan untuk menyesatkan anak-anak muda Islam dengan pelbagai cara supaya Islam tidak lagi akan tertegak seperti dahulu.
Dan perancangan mereka akan berjaya jika kita masih berdiam diri malah turut terpedaya dengan godaan yang mereka tawarkan.
Berwaspadalah dan ingatlah selalu bahawa tanggungjawab membebaskan ummat ini dari kekufuran, kezaliman dan kegelapan berada di tangan kita. Jangan biarkan tenaga ini disia-siakan!
Buta pada cahaya, kita masih bisa dituntun berjalan. Tuli tanpa suara, kita masih bisa melihat kehidupan. Bisu dalam kata, kita masih bisa menggerakkan badan. Tapi buta, tuli & bisu pada diri sendiri, menjadikan kita hidup dalam dunia tanpa kesedaran, tanpa kenyataan. Mati, dalam alam yang kita ciptakan sendiri. Hilang, dalam pusaran yang menenggelamkan diri tanpa pernah kembali. Semoga kita diberi kekuatan untuk terus berkhidmat dalam perjuangan murni menegakkan agama suci ini. Wallahul Musta’aan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan